blogger tracker
Sampling Workstation

Tuesday, August 11, 2009

H1N1: Pesanan Dr. Roslin


Adalah amat sukar untuk kita membezakan jangkitan batuk selsema biasa daripada jangkitan Influenza A H1N1 (selsema babi) kerana majoriti simptom-simptomnya adalah sama. Oleh disebabkan itu, saya menyarankan agar pesakit-pesakit saya mengambil langkah-langkah berikut untuk mengelakkan penularan wabak penyakit Influenza A H1N1 mahupun jangkitan batuk selsema biasa.

1. Amalkan "social distancing"- menjauhkan diri daripada mereka yang mengidap demam, batuk ataupun selsema. Menjauhkan diri dari tempat-tempat awam yang sesak. Mengelak daripada menghadiri ataupun menganjurkan majlis-majlis keramaian sewaktu wabak melanda.

2. Amalkan kebersihan diri- memakai penutup muka(mask) terutamanya bila berada di tempat awam yang sesak seperti di sekolah, klinik, hospital, hentian bas, pasaraya ataupun jika bekerja di bahagian servis perkhidmatan contohnya, guru, doktor, pegawai kaunter, peniaga. Memakai sarung tangan juga sangat disyorkan bagi mereka yang bekerja di bahagian servis perkhidmatan. Sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan air, saya lebih menggemari penggunaan "instant hand sanitizer" dan ia sentiasa berada dalam handbag saya. Sentiasa menutup mulut ketika bersin ataupun batuk dengan tisu dan pastikan ia dibuang dengan sempurna setelah selesai. Sekiranya menutup mulut dengan tangan, maka perlulah membasuh tangan dengan segera. Elakkan daripada bersalam atau peluk cium apabila bertemu sahabat handai ataupun saudara mara. Jangan meludah merata-rata, jika anda perlu meludah, lakukannya di sinki ataupun mangkuk tandas dan segera lalukan air dan sabun ditempat tersebut sampai bersih. Sentiasa berkumur dengan thymol gargle ataupun listerine dll.

3. Amalkan cara hidup sihat-Amalkan pemakanan yang sihat. Minum 8-10 gelas air suam ataupun mineral water setiap hari. Elakkan makan ataupun minum makanan/minuman yang mengandungi gula seperti air milo, sirap, kuih-muih, coklat, gula-gula, aiskrim, buah-buahan seperti rambutan etc. Kandungan gula yang tinggi akan memudahkan pembiakan kuman dibahagian mulut dan tekak disamping membuatkan kita mudah batuk. Lebihkan makanan bersup dan bubur dan kurangkan makanan bergoreng dan berminyak kerana ini memudahkan kita untuk mendapat batuk. Makan lebih banyak sayur-sayuran terutama ulam-ulam segar agar meningkatkan immuniti/daya tahan penyakit. Berhenti ataupun kurangkan menghisap rokok. Amalkan riadah selalu supaya jantung lebih sihat dan berstamina.

4. Amalkan "quarantine"- Sekiranya anda disuruh berkuarantin oleh doktor ataupun anda mengalami gejala sakit tekak, batuk, selsema, demam etc, amalkan kuarantin dengan ikhlas dan sebaik mungkin. Jangan hadir ke tempat kerja, jangan keluar membeli belah, jangan keluar bertemu rakan, jangan menghadiri majlis keramaian. Semasa di rumah, asingkan diri dan elakkan dari bergaul dari ahli keluarga yang lain termasuk anak-anak, isteri, suami, ibu, ayah ataupun ahli serumah yang lain. Pakai mask semasa berkuarantin di rumah. Jangan berpeluk cium ataupun tidur bersama anak ataupun isteri.

* Seandainya anda mengalami gejala H1N1, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Sekiranya keadaan kesihatan anda masih tidak bertambah baik selepas itu, segera kembali ke klinik ataupun hospital untuk pemeriksaan lanjut kerana simptom-simptom dan tanda-tanda penyakit cepat berubah dari masa ke semasa.


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment